STRATEGI PENJAJAH SIAM MEMATHKAN
KEBANGKITAN RAKYAT PATANI
Oleh
Abu Nuiam
Setelah 6 tahun rakyat Patani bangkit menentang penjajahan Siam di bumi mereka secara berterusan pada 2004 hingga kini, pihak Thai Siam juga telah mengerahkan segala kekuatan mereka bagi mempertahankan penjajahannya yang begitu lama bertapak di bumi Patani. Thai Siam telah bekerja keras bagi memastikan mereka dapat mengekalkan penjajahan ini untuk selama mungkin dan akan berpuas hati jika seluruh rakyat Melayu Patani dapat di Siamisasikan sepenuhnya.
Pada peringkat permulaan kebangkitan (yang terbaru) iaitu sejak 4 Januari 2004, penjajah Siam seolah-olah menjadi histeria, bingung dan gelabah dalam menghadapi kebangkitan rakyat di Patani. Siam telah menerima satu kejutan yang hebat kerana ini pertama kali dalam sejarahnya kem tentera Siam ditawan dan diserbu dengan begitu mudah. Walau pun pada suatu ketika dahulu, mereka pernah berdepan dengan pemberontak Komunis Thai dan gerakan pembebasan Patani sebelum ini tetapi tidak pernah menerima “aib” seteruk kali ini kerana bukan sahaja kem tenteranya dapat ditawan bahkan banyak senjata-senjatanya dirampas dan 5 askarnya turut terbunuh.
Kebangkitan rakyat Patani pada kali ini, telah menarik perhatian seluruh bangsa Siam dan mereka memberi perhatian yang serius terhadap bumi jajahannya Patani, masing-masing melahirkan reaksi serta menimbulkan pertanyaan yang pelbagai; apa? kenapa? Bagaimana? Dan pelbagai soalan yang membingunkan mereka sehingga entah sudah berapa menteri, panglima tentera ditukar ganti hatta Perdana Menteri juga sudah empat orang silih berganti, namun rakyat Patani tetap konsisten dalam perjuangannya menuntuk hak kemerdekaan bagi Negara Patani yang sedang dijajah itu.
Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh ini juga Siam mula mengumpul segala maklumat dan mula menyusun semula strategi pertahanannya bagi memastikan kuasa penjajahannya dapat dikekalkan di bumi Patani.
Setakat ini pihak Siam telah mengandaikan bahawa ada 3 peringkat dalam susunan barisan pejuang pembebasan Patani yang bergerak aktif menuntut kemerdekaan Patani sekarang iaitu peringkat pimpinan, kedua peringkat angkatan bersenjata, dan ketiga peringkat pendokong perjuangan yang terdiri daripada kalangan rakyat awam. Andaian ini Siam mendakwa berdasarkan kepada maklumat-maklumat suspek yang ditangkap dan juga berdasarkan kepada risikan dan penyelidikan yang dijalankan selama pergolakan berlangsung.
Andaian ini telah memberi erti bahawa Siam telah melangkah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain, atau dengan kata lain, melangkah daripada “tidak tahu” kepada “tahu” walaupun andaian ini belum dapat dipastikan dengan tuntasnya oleh mereka, namun berdasarkan kepada tindakan-tindakan yang telah diambil oleh mereka pada ketika ini, jelas ia adalah usaha bagi merungkai persoalan dan andaian di atas. Hal ini dapat dilihat kepada strategi-strategi yang telah dijalankan oleh mereka terutama setelah kerajaan Surayud dan kerajaan Prachatipat berkuasa, kerana pada hakikatnya golongan inilah yang dikatakan bapa penjajah Siam di Patani yang sebenar, kerana mereka adalah mewakili golongan istana Siam yang sekaligus menguasai tentera dan kerajaan. Segala keputusan penting yang membabitkan kepentingan Negara Siam terutama wilayah-wilayah jajahannya dimonopoli oleh golongan ini bukan melalui proses demokrasi parlimen seperti yang difahami ramai.
Bertolak daripada andaian ini, maka mereka telah mengatur strategi penting bagi mematahkan dan menyekat kebangkitan rakyat Patani bagi memerdekakan tanah airnya. Secara umumnya strategi ini terbahagi kepada 2 strategi utama yang merupakan serampang dua mata; iaitu strategi ketenteraan dan strategi politik. Strategi ketenteraan diarahkan kepada angkatan bersenjata pejuang pembebasan Patani dan orang awam, sementara strategi politik pula diarahkan kepada peringkat pimpinan dan pendukong perjuangan pembebasan Patani.
Strategi ketenteraan dan tindakkan yang telah di ambil oleh penjajah Siam antaranya; mengisytiharkan darurat, mengisytiharkan perintah berkurung, menambahkan bilangan tentera, membentuk badan-badan pemerintahan, membentuk sukarelawan kerajaan, mengupah 4500, menekan ketua-ketua kampong untuk bekerjasama dengan Siam, meningkatkan kerja risikan, menyekat kebebasan media dan lain-lain. Semua tindakan ini adalah untuk menyekat kemaraan gerakan angkatan bersenjata pejuang dan sekaligus “menakutkan dan mendiamkan” rakyat supaya tidak memberi sokongan kepada perjuangan atau istilah lain disebut memisahkan ikan dengan air. Strategi ini dikenali sebagai menguasai 3, iaitu menguasai kawasan, menguasai rakyat dan menguasai penyokong pejuang yang dalam bahasa Siam disebut (3Ko’). Pendekatan ini merupakan satu pendekatan keganasan Siam terhadap rakyat awam yang lemah untuk mengugut, mengancam, menangkap dan seterusnya jika masih berdegil mereka akan membunuh sama ada dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan.
Pendekatan ganas ketenteraan ini bertujuan “mendiamkan” rakyat awam supaya tidak bangun menentang mereka yang sering ditunjukkan oleh rakyat Patani melalui prinsip-prinsip demokrasi, sebagai mana sering dilihat sebelum ini seperti memprotes, demontrasi secara aman dan menentang tentera daripada menetap di kampung-kampung mereka. Namun setelah tentera Siam memperhebatkan strategi-strategi di atas, kini rakyat awam berada dalam keadaan “ketakutan” dan tidak lagi berani melahirkan “perasaan sebenar” mereka.
Sementara Strategi politik pula ia dapat dibahagikan kepada 2 strategi utama iaitu strategi politik dalaman dan strategi politik luaran. Strategi politik dalaman yang telah diambil oleh penjajah Siam antaranya ialah mendekati golongan agama, pujuk rayu, menabur janji, propaganda politik, membentuk secara langsung atau tidak langsung kumpulan-kumpulan politik dan sosial sama ada yang bersifat kontra perjuangan rakyat atau bersifat pro kerajaan Siam atau pun yang bersifat neutral yang bergerak mengikut peraturan yang digariskan Siam atau dengan kata lain mengikut undang-undang Siam.
Semua strategi ini bertujuan “memisahkan” rakyat Patani daripada perjuangan kemerdekaan dengan membiarkan pejuang “bersendirian” dan “terasing” dari semua kumpulan yang dibentuk tadi. Baik atas nama kumpulan parti politik atau pun kumpulan sosial yang tumbuh seperti cendawan di Patani sekarang. Sehingga akhirnya, gerakan pejuang kemerdekaan menjadi “asing” dan “disisihan” daripada arus perdana dalam masyarakat serta mengecopkan pejuang sebagai kumpulan “pengganas” yang menolak keamanan. Inilah yang dipanggil “menekan melalui birokrasi” atau istilah Siam dipanggil (Beeb duai kol kai). Iaitu membiarkan masyarakat menghukum terhadap gerakan pejuang kemerdekaan yang dianggap “asing” dan ketinggalan dalam arus perdana.
Demi menjayakan misi ini, maka Siam memperhebatkan propaganda politiknya dengan menggunakan golongan agama dan pemimpin tempatan (orang Melayu) untuk dijadikan alat tunggangannya dengan tujuan “melagakan” dan menjadikan “alatnya” itu sebagai “benteng” penjajahannya dalam menghadapi pejuang kemerdekaan. Maka akhirnya peperangan ini menjadi Melayu lawan Melayu yang merugikan perjuangan secra keseluruhannya.
Sementara strategi Politik luar pula Siam telah menggunakan seluruh kebijakan diplomatiknya bagi meyakinkan dunia terutama dunia Islam bahawa permasalah Patani adalah masalah dalaman negaranya yang ditimbulkan oleh sebahagian golongan kecil sahaja bukan mewakili orang Islam seluruhnya. Maka dengan itu setiap kali hampir dengan persidangan OIC berlangsung, pelobi-pelobi Siam “ligat” menjalankan tugasnya samada melalui saluran-saluran yang tersedia ada atau sebaliknya. Antara contoh usaha-usaha Siam bagi meyakinkan dunia luar ialah dengan menjemput duta-duta asing dan setiausaha OIC ke Patani dengan menyediakan semua kemudahan dan keselesan kepada mereka tanpa menunjukan kecelaan dan kekurangan sedikit pun.
Seluruh strategi-strategi di atas, Siam telan menjalankan secara serentak dan bersepadu dalam usaha “menyempitkan ruang” gerakan pejuang pembebasan Patani baik di dalam mahupun di luar negara serta ingin mematahkan semangat kebangkitan rakyat Patani dalam perjuangan menentukan “hidup” atau “mati” bangsa Melayu Islam di bumi Patani Darussalam pada masa kini.
No comments:
Post a Comment